Kuala Lumpur, Me-
Sebanyak 2,361 hidupan liar dilaporkan mati dilanggar kenderaan di atas jalan di seluruh negara sejak 2020 hingga kini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam tempoh itu Pahang menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kematian hidupan liar akibat kemalangan iaitu 765 ekor, diikuti Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201), dan Negeri Sembilan (187).
“Kalau kita lihat spesies pula, seperti gajah mencatatkan lapan kematian iaitu seekor pada 2020, masing-masing dua ekor pada 2021 dan 2024, dan setakat tahun ini kita telah merekodkan tiga ekor (termasuk kematian anak gajah yang tular pada Ahad).
“Harimau Malaya pun kita tengok ada sedikit peningkatan dengan 2020 hingga 2022 tiada kematian direkodkan tetapi pada 2023 merekodkan satu kematian manakala 2024 sebanyak tiga ekor dan setakat tahun ini ada seekor Harimau Malaya terlibat dengan kematian di atas jalan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini pada Isnin.
Pada Ahad, tular di media sosial gambar dan video seekor anak gajah yang dilanggar terperosok di bawah sebuah lori kontena dan seekor gajah dewasa dipercayai ibunya sedang cuba mengalihkan lori tersebut bagi menyelamatkan anaknya.
Kejadian yang meruntun hati warga maya itu berlaku awal pagi kelmarin di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Perak.

