Shah Aam, Apr-
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan banjir susulan hujan lebat yang berlaku awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed, memaklumkan dua PPS terbabit adalah Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 yang menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.
“Satu lagi PPS adalah Sekolah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam yang menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.
“Kedua-dua PPS ini menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang dikategorikan sebagai bencana tahap 1 di kawasan dimaklumkan dan yang berhampiran,” katanya menerusi kenyataan.
Huzunul Khaidil berkata, PPS berkenaan akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.
Sementara itu, MBSA menerusi hantaran di Facebook memaklumkan laluan Batu 3 Lama yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula atas arahan pihak polis yang mengawal lalu lintas di lokasi dan keadaan banjir juga menunjukkan tanda-tanda surut serta boleh dilalui oleh kenderaan.


