Kuala Lumpur, Apr-
Penduduk terjejas dengan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa, boleh menuntut pampasan daripada pihak yang disabitkan bersalah di bawah Akta Bekalan Gas 1993, kata peguam M. Manoharan.
Pakar undang-undang itu berkata, di bawah Seksyen 30D akta itu, mangsa kejadian sedemikian dilindungi undang-undang, membolehkan mereka menuntut ganti rugi daripada pihak yang disabitkan dengan kesalahan.
Manoharan menegaskan mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan perintah yang memerlukan pesalah membayar kedua-dua kos pendakwaan dan pampasan kepada mangsa.
“Pampasan ini boleh meliputi pelbagai kerugian termasuk kecederaan fizikal, kemusnahan harta benda atau kehilangan pendapatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Manoharan berkata dalam menentukan jumlah ganti rugi, mahkamah mempertimbangkan pelbagai faktor seperti tahap keseriusan kesalahan, tahap kerosakan, kerugian kewangan dialami mangsa dan kemampuan orang disabitkan untuk membayar.


