Kuala Lumpur, Apr-
Maestro muzik dunia, Isaignani Ilaiyaraaja akan menghiburkan peminat tempatan menerusi konsert mega Raaja Rhapsody yang akanl berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.
Pastinya, peminat hiburan tempatan yang sudah lama menantikan konsert maestro tersohor itu bakal disajikan dengan satu pengalaman yang luar biasa.
Raaja Rhapsody bakal menampilkan sebuah orkestra megah yang menghimpunkan lebih 60 pemuzik profesional dari India dan Budapest, Hungary.
Malah buat pertama kalinya dalam sejarah, gabungan muzik epik itu akan dipimpin sendiri beliau di pentas Malaysia.
Lebih istimewa lagi, senarai lagu eksklusif yang dikurasi khas oleh pengarah muzik itu akan menghidupkan keindahan melodi, menjanjikan sebuah perjalanan musikal yang mengasyikkan dan penuh emosi.
Satu segmen istimewa turut akan dipersembahkan dalam konsert itu bagi meraikan keunikan skor latar (BGM) dalam karya-karya Ilaiyaraaja.
Dalam sidang media baru-baru ini, penganjur, Pink Creative Agency memberitahu, lebih enam skor latar paling ikonik akan dihidupkan semula secara orkestra penuh, menonjolkan kepentingan BGM dalam menyampaikan emosi dan memperkukuh penceritaan sesebuah filem.
Pentas itu akan turut dikongsi penyanyi popular seperti Hariharan, SPB Charan, Vijay Prakash, Vibhavari Apte Joshi, Madhu Balakrishnan, Karthik, Shweta Mohan, Haricharan dan Priyanka.
Sehingga kini, beliau telah menggubah lebih 7,000 lagu dan menyediakan skor filem untuk lebih daripada 1,000 filem India dalam pelbagai bahasa.
Memetik laporan BBC, lagu hasil gubahan Ilaiyaraaja, Rakkamma Kayya Thattu dari filem Thalapathy, lakonan bintang popular Rajinikanth dinobatkan di tempat keempat sebagai lagu popular sepanjang zaman pada 2003.


