Kuala Lumpur, Apr-
Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan selepas merampas dadah jenis syabu bernilai RM16.6 juta dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Ampang pada 27 Mac lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata kejayaan itu susulan pihaknya menahan sebuah kenderaan dipandu dua lelaki pada jam 7.20 pagi di sekitar Subang Jaya.
“Pemeriksaan di bahagian kerusi depan kenderaan itu menemui empat guni mengandungi 100 bungkusan plastik berisi dadah jenis methamphetamine.
“Selepas itu, pemeriksaan di bahagian bonet belakang kereta pula menemui dua lagi guni mengandungi 50 bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 156 kilogram (kg),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Mat Zani berkata, susulan tangkapan dua individu berusia 21 dan 33 tahun itu, polis dengan dipandu arah suspek kemudian menyerbu sebuah inap desa di kawasan Subang Jaya.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 12 guni mengandungi 300 bungkusan plastik berisi dadah disyaki methamphetamine.Pada hari sama, suspek turut memandu arah pasukan polis ke sebuah gudang di Taman Bukit Permai, Ampang sebelum menemui dua guni lagi mengandungi 50 bungkusan plastik berisi dadah sama,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan anggaran berat dadah dirampas adalah 519 kilogram bernilai RM16.6 juta.


