Kota Bharu, Mac-
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan memastikan gula-gula berbentuk vape tidak dijual di dalam dan luar kawasan sekolah bagi melindungi pelajar daripada ancaman kesihatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang menjual produk tersebut termasuk makanan berbahaya kepada pelajar.
“KPM tidak akan berkompromi dalam isu ini. Kami akan memastikan tiada penjualan gula-gula berbentuk vape di kawasan sekolah, malah akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal penjualannya di luar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Jaulah Ramadan KPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, di sini pada Ahad.


