Kota Bharu, Feb-
Pengurus syarikat agensi pelancongan Hafizul Hawari dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada April tahun lalu.
Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu selepas Hafizul, 38, mengaku bersalah atas semua pertuduhan dihadapinya.Zulkifli berkata, mahkamah telah mengambil kira fakta kes dan memandang serius kesalahan dilakukan tertuduh.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, serta masing-masing penjara tiga tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga kerana memiliki 33 butir peluru PMC 380 Auto tanpa lesen dan memiliki satu bungkusan plastik mengandungi mercun bola tanpa permit.
Hafizul dihukum penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan keempat hingga keenam kerana memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu dan penjara 12 bulan bagi pertuduhan ketujuh iaitu memandu kereta jenis Honda Civic menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Bagaimanapun lelaki itu hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun, selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap pada 15 April 2024.
Hafizul didakwa melakukan semua kesalahan itu dalam kereta itu di pekarangan sebuah hospital swasta di sini, pada 2 petang, 15 April 2024.


