Ipoh, Dis-
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak hari ini terus memantau persekitaran Pantai Teluk Batik susulan penampakan kehadiran seekor buaya di kawasan itu semalam.
Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff berkata pihaknya belum memasang perangkap, namun meminta orang ramai yang berada di kawasan berkenaan supaya berhati-hati.
“Kita pantau dahulu sebab tidak semua (kes) kita akan pasang perangkap kerana kawasan berkenaan merupakan habitat haiwan itu dan kita minta orang ramai berhati-hati … jangan timbulkan provokasi, jangan baling (barang) ke arah buaya itu.
“Selepas itu, pihak kami menjangkakan dalam dua atau tiga hari ini haiwan itu akan pulang semula (ke habitat asal) kerana berkemungkinan buaya itu tersesat di kawasan pantai terbabit,” katanya.


