Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai supaya menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.
Jabatan Khidmat Korporat, LHDN dalam satu kenyataan berkata ini berikutan agensi itu diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan tanah air jika mereka atau syarikat dimilki mempunyai tunggakan cukai tidak dijelaskan kepada kerajaan.
“Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadat, LHDN menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.
“Sekatan perjalanan adalah tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan,” kata dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
LHDN dalam kenyataan sama berkata sehingga 30 November lalu, sebanyak 203,123 kes sekatan perjalanan direkodkan di seluruh negara.


