Bukit Mertajam, Julai-
Dua mayat wanita ditemui dalam keadaan sudah kembung dan berbau busuk di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, semalam.
Mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci.
“Pasukan penyelamat yang lengkap dengan paka
ian PPE (pakaian perlindungan diri) membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas. “Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.
Difahamkan, dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau busuk.
Seorang daripada mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.
Mayat kedua-dua wanita terbabit dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.


