Seremban, Jun-
Kisah Nurhidayah Abdullah yang pertama kali bertemu ibu kandungnya yang terpisah sejak 27 tahun lalu, meruntun hati netizen selepas video pertemuan menyedihkan itu dikongsikan rakan baiknya di TikTok .
Nurhidayah diserahkan kepada ibu dan bapa angkat, Jamilah Mohammad, 57, dan Omar Ismail, 62, oleh ibu kandungnya berbangsa India, P. Murugamah, 51, ketika berusia dua hari berikutan wanita itu berdepan masalah keluarga ketika itu.
Berkongsi kisahnya, wanita yang juga kakitangan swasta itu berkata, dia dibesarkan ibu bapa angkat selepas diserahkan ibu kandung melalui orang tengah dan sejak itu dijaga penuh kasih sayang seperti anak kandung.
Umi dan ayah jaga saya dengan baik dan berikan perhatian serta pendidikan dengan baik. Ketika di tadika mereka beritahu status saya sebagai anak angkat tapi tak pernah ajar saya membenci mak kandung. “Umi juga selalu cakap kalau sudah besar nanti dan saya mahu cari mak kandung, dia tidak akan larang dan mereka juga beri saya lihat gambar mak ketika menyerahkan saya 27 tahun lalu,” katanya yang menetap di sini.
Nurhidayah berkata, hatinya terbuka untuk mencari ibu kandungnya selepas bekerja dan mula melakukan usaha itu sejak pertengahan bulan ini sebelum berjaya mendapat alamat rumah wanita itu.
“Saya memang sedih dan marah kerana mak sanggup serahkan anaknya pada orang, namun di sebalik itu saya bersyukur ditemukan dengan umi dan ayah yang sanggup menjaga saya seperti anak kandung mereka sendiri.
“Apabila sudah dewasa dan bekerja saya mahu tahu alasan mak serahkan saya kepada keluarga angkat. Sebab itu saya cuba mencarinya dan tak sangka Allah SWT mudahkan usaha itu dan saya dapat bertemu mak,” katanya memberitahu ibu bapa angkatnya sudah berpisah ketika dia berusia 15 tahun.
Menurut Nurhidayah, dia meminta rakan menemaninya ke rumah ibu kandung dan mengakui sebak apabila melihat wajah wanita itu buat kali pertama di hadapan matanya.
“Saya minta rakan bertanya sama ada ia rumah mak dan selepas itu barulah saya menghampiri mereka sebelum menyerahkan surat yang memang sudah saya tulis untuknya kerana saya tak kuat nak bercakap siapa saya di depannya.
“Selepas anak saudara mak selesai baca surat itu mak terus tanya adakah saya benar Aisha berulang kali dan Aisha adalah nama asal saya diberikan mak ketika dilahirkan.
“Apabila saya mengiyakan saya adalah Aisha dan salam tangannya terus dia peluk saya dan menangis bersama,” katanya.
Katanya, dia mengakui perasaannya bercampur baur antara gembira, sedih dan terkejut namun sudah lega selepas mengetahui alasan wanita berkenaan menyerahkannya kepada keluarga angkat biarpun ia menyedihkannya.
“Kami berbual tiga hingga empat jam dan saya sudah tahu alasan mak serahkan saya. Saya belajar untuk pujuk hati dan menerimanya kerana apa yang berlaku ini adalah takdir Allah namun lega apa yang terbuku di hati sudah ada jawapan.
“Mak cakap setiap kali ulang tahun kelahiran saya dia akan ucapkan selamat hari jadi dan selalu tanya di mana saya dan bagaimana kehidupan saya. Itu juga membuatkan saya sedih kerana seorang mak tetap rindukan anaknya,” katanya.
Katanya, ibu bapa angkat juga tahu dia sudah berjumpa ibu kandungnya dan penerimaan mereka juga baik selain mahu menemukan dua wanita itu tidak lama lagi.


