Kuala Lumpur, Jun-
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Syed Husin Ali meninggal dunia awal pagi ini, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Perkara itu dimaklumkan Fahmi yang juga menteri komunikasi di Facebooknya.“Saya baru terima perkhabaran sedih yang Syed Husin Ali, timbalan pengerusi majlis penasihat PKR, telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi,” katanya.
Syed Husin, 87, sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dirawat di Hospital Selayang.Beliau menjadi timbalan presiden PKR susulan penggabungan Parti Rakyat Malaysia, di mana beliau adalah presiden dan Parti Keadilan Nasional pada 2003.
Pada Dis 1974, Syed Husin, yang ketika itu profesor madya di Universiti Malaya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.
Beliau ditahan selama enam tahun susulan protes terhadap kerajaan oleh petani di Baling dan pelajar di Kuala Lumpur.
Menurut Fahmi, Syed Husin banyak berjasa kepada parti dan rakyat menerusi penerbitan banyak buku termasuk “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” yang mengisahkan pengalamannya ditahan di bawah ISA serta “Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN”.


