Melaka, Jun-
Seramai 33 orang, termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di sini disyaki dijangkiti wabak Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin minggu lepas.
Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa berkata pada 7 Jun lepas, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi sekumpulan pelajar sekolah mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas dua hari sebelum itu.
“PKD Melaka Tengah dimaklumkan 78 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga mengikuti program tersebut.
“Bagaimanapun, 27 orang terdiri daripada 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit badan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lima daripada mereka, iaitu seorang penjaga dan empat pelajar dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan stabil, manakala kes bergejala lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.


