Kuala Lumpur, Mei-
Lebih 100,000 baucar buku telah ditebus setakat semalam iaitu dalam tempoh tiga hari penebusan dibuka bermula 31 Mei lepas, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata ini melibatkan penebusan 56,466 baucar buku bagi peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) membabitkan murid tahun empat dan ke atas serta pelajar sekolah menengah, manakala baki 50,000 di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Setakat ini (lebih) 122,000 judul buku telah dibeli yang melibatkan (nilai) pembelian sehingga lebih RM600,000.
“… ini menunjukkan baucar tersebut menjadi pemangkin kepada minat (membaca) dan ramai ibu bapa mengambil kesempatan untuk memastikan bahawa anak mereka mendapat manfaat daripada baucar itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, semalam.
Inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi bawah KPM dan KPT itu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan.
Pada 30 Mei lepas, Anwar mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta institut pendidikan Guru.
Tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Dis ini.


