KAJANG – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir, terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten KaAomisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.40 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.20 petang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa kemudian dihanyutkan arus ke kawasan tadahan air sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 5.55 petang kira-kira 150 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat,” ujarnya.



