KUALA TERENGGANU :
Pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia kini diteruskan selepas pelancaran program anugerah berprestij, Enterprise 50 atau lebih dikenali sebagai Anugerah E50 oleh SME Corp. Malaysia pada awal tahun ini. Siri Jelajah bagi Wilayah Pantai Timur telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih daripada 100 syarikat
berpotensi sekitar Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang telah hadir ke Duyong
Marina & Resort, hari ini.
Semasa sesi jelajah ini, rakan strategik seperti RHB Bank Berhad, Unifi Business (Telekom Malaysia), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan ASTRO Malaysia Holdings Berhad telah memberikan taklimat berkenaan program yang dapat ditawarkan kepada PMKS. Rakan strategik lain yang menyokong penganjuran Program E50 termasuklah YTL Corporation Berhad, KLIATV Media, RAM
Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, Malaysia SME, dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.
Melalui penganjuran Anugerah ini juga, PMKS adalah digalakkan untuk melengkapkan operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian melalui penerapan amalan ESG iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus. Sehubungan itu, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50, satu Anugerah Khas Baharu akan diperkenalkan di bawah Program Anugerah E50 pada tahun ini iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.
Anugerah ini diperkenalkan bagi memperakui Syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.


YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dalam ucapannya berkata, “Sehingga kini, Program ini telah menarik seramai 2,225 peserta dan telah mewujudkan sebanyak 763 alumni pemenang. Daripada pemenang E50 yang lalu, sebanyak 67 syarikat telah berjaya disenaraikan dalam pasaran modal, yang menambah lagi prestij Anugerah ini.
Sementara itu, YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia menyatakan, “Anugerah ini telah berjaya mempromosi dan menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sejati selain meningkatkan penampilan syarikat. Anugerah E50 tahun ini amat signifikan dalam mengiktiraf PMKS yang berdaya tahan terutamanya dalam mengharungi ekonomi global yang makin mencabar”.
Bagi meningkatkan penyertaan PMKS dalam Anugerah E50 pada tahun ini, beberapa siri jelajah telah dilaksanakan di beberapa lokasi termasuklah Sabah, Sarawak, Pulau Pinang (Zon Utara) dan Johor (Zon Selatan).
Pada tahun ini, syarikat perlu mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan Insentif PMKS (MyBPI) sebelum tarikh tutup pada 30 Jun 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, sila layari laman sesawang, www.e50.com.my.


