Gerik, Mei-
Polis menahan seorang lelaki disyaki mencederakan ibunya menggunakan pisau dan sepana ketika wanita itu sedang menunaikan solat di rumah mereka di Kampung Bongor, di sini, semalam.
Suspek berusia 29 tahun yang mengamuk dengan bersenjatakan sepana pembuka plug dan sebilah pisau pemotong getah, didakwa turut mencederakan adik lelakinya berumur 15 tahun yang cuba menyelamatkan ibu mereka dalam kejadian itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek dikatakan memukul ibu kandungnya berusia 54 tahun pada bahagian muka dan badan sebelah kiri secara bertubi-tubi.
“Hasil siasatan mendapati suspek didakwa memukul ibunya yang sedang mendirikan solat ketika itu menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.Adik suspek yang sedang berada di dalam bilik air terdengar jeritan itu lalu keluar dan melihat suspek sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi. Dia turut dipukul apabila cuba menolong ibu mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, Mohd Yusri berkata, kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bersia, di sini, pada jam 7.50 pagi semalam dalam keadaan berdarah akibat kecederaan yang dialami.


