Bagan Datuk, Dis–
Kerajaan akan mula menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di seluruh negara bermula hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengagihan segera bantuan itu bagi membolehkan mangsa yang terjejas mendapatkan keperluan asas dengan lebih cepat sekali gus meringankan beban mereka sepanjang tempoh pemulihan.
Menurut beliau, peraturan sebelum ini menetapkan bahawa mangsa banjir akan menerima BWI dalam tempoh tiga hari selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup.
“Tidak salah untuk bantuan tersebut disalurkan ketika mereka masih berada di PPS. Saya telah arahkan mulai hari ini untuk bantuan-bantuan itu diberikan. Mereka (mangsa banjir) memerlukan wang segera untuk membeli peralatan baharu di rumah yang telah rosak.
Saya tahu itu (bantuan) tidak cukup tapi ia adalah tanda keprihatinan kerajaan untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima taklimat ringkas mengenai situasi banjir negara di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Bagan Datuk di Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, di sini hari ini.




